corporate

corporate

mission & vision

mission & vision

business & services

business & services

aviation lubricant

aviation lubricant

bowling

bowling

contact us

contact us
Loading...

PREVIOUS BOWLING PROJECT

PREVIOUS BOWLING PROJECT

2

2

3

3

4

4

5

5

6

6

7

7

8

8

9

9

10

10

Thursday, September 3, 2009

PENGURUSAN PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN: PENELITIAN TERHADAP INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA


Prof. Madya Dr. Moha Asri Haji Abdullah,
Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia. Tel: 04-6577888 smbgn 3843/2431 E-mel: moha@usm.my; dan

Dr. Atikullah Haji Abdullah, Pemangku Pengerusi Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia. Tel: 04-6577888 smbgn 3867 E-mel: atik@usm.my


1.0 PENDAHULUAN

Dalam kebanyakan negara maju dan membangun, industri kecil dan sederhana (IKS) dalam banyak aspek merupakan tulang belakang kepada ekonomi nasional. IKS memainkan peranan dan memberi sumbangan penting kepada pengeluaran negara dan kemampuan menyediakan pekerjaan kepada penduduk. Di Amerika Syarikat misalnya, 95% dari perniagaan adalah bersaiz kecil dan sederhana, dan 51% daripada keseluruhan tenaga kerjanya terlibat dalam IKS (lihat Moha Asri 1997a, 1997b).

Contoh yang sama boleh didapati dalam hampir semua negara. Lebih penting dari bilangan atau peratusan tersebut, peranan IKS juga penting dalam menambahkan tabungan dan pelaburan dalam ekonomi, dalam mengagihkan pendapatan di kalangan penduduk, dalam memberikan latihan dan pengembangan kemahiran untuk pekerja dan pengusaha, dalam membantu memperkukuhkan struktur asas industri nasional, dalam mempertingkatkan hubung jalin dengan firma besar dan multi-nasional dalam ekonomi dan dalam menyediakan barangan yang tidak dapat dihasilkan oleh firma-firma besar dan multinasional. Atas sebab ini, kepentingan industri kecil dan sederhana dalam pembangunan ekonomi negara mendapat pengiktirafan yang meluas.

Pada asasnya, pengiktirafan begini tidak nampak bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi ini tidak bererti bahawa falsafah, perkaedahan operasi dan pengurusannya juga diterima Islam sepenuhnya. Hal ini perlu diteliti dan difahami sepenuhnya dari perspektif Islam dan akan didapati nanti bahawa ada perbezaan-perbezaan asas antara falsafah, perkaedahan operasi dan pengurusan IKS konvensional dengan falsafah, perkaedahan operasi dan pengurusan IKS Islam.

Memandangkan setakat ini belum ada satu bentuk penulisan khusus tentang pengurusan perniagaan IKS secara Islam, keperluan dan kepentingan pendedahan ilmu, pengetahuan dan penyebaran sistem pengurusan IKS secara Islam ini menjadi semakin ketara. Untuk memenuhi keperluan ini, maklumat umum tentang pengurusan perniagaan Islam boleh dijadikan rujukan asas, sebagaimana yang dilakukan di dalam makAllah SWT ini. MakAllah SWT ini akan meneliti bagaimana pengurusan IKS secara Islam boleh dilakukan selaras dengan falsafah dan perkaedahan operasional
mengikut Al-Qur’an dan Hadith.

Dalam menjayakan usaha ini, maka Allah SWT ini akan menyentuh beberapa aspek penting dalam pecahan sub-topik.

Pertama, makAllah SWT ini akan melihat bagaimana falsafah asas-asas pengurusan IKS dapat dibentuk dan diamalkan, berbeza dengan falsafah pengurusan perniagaan konvensional.

Seterusnya, tinjauan terhadap bagaimana nilai-nilai operasional dan amalan dalam IKS dapat disesuai dan dilaksanakan mengikut tuntutan Islam akan dibincangkan.

Bagi kedua-dua sub-topik tersebut, beberapa perbandingan dengan sistem pengurusan konvensional di mana yang sesuai akan dilakukan sebelum rumusan dikemukakan di bahagian akhir.

2.0 KONSEP DAN FALSAFAH PENGURUSAN PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN DARI PERSPEKTIF ISLAM

Islam mempunyai pendekatan dan falsafah yang tersendiri dan berlainan dengan pendekatan konvensional dalam urusan pengurusan dan pentadbiran perniagaan. Falsafah ini sesungguhnya boleh dijadikan garis panduan bagi melahirkan prinsip-prinsip am kepada sistem pengurusan IKS sesuai dengan matlamat dasar dalam Islam.

Pada dasarnya, falsafah dan pendekatan dalam sistem pengurusan Islam baik secara langsung atau tidak langsung banyak bergantung kepada beberapa prinsip asas Islam seperti konsep Tauhid (Rububiyyah dan Uluhiyyah), konsep keadilan yang luas dan konsep ukhuwwah (lihat Sheikh Ghazali 1991).

Berasaskan kepada prinsip Tauhid inilah konsep dan pendekatan pengurusan Islam dibangunkan. Konsep pengurusan Islam berasaskan prinsip Tauhid antara lainnya bermaksud,

“Menunaikan perjanjian (amanah) Allah SWT ke atas manusia, sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di bumi ini untuk melakukan amal solih di atas prinsip kerja sama dan perbincangan (syura). Tujuan pengurusan ini ialah pembinaan sebuah tamadun yang berasaskan nilai etika tauhid. Untuk tujuan ini, pengurusan mestilah membasmi gejala rasuah, salah laku, keburukan, kezaliman dan seterusnya mengujudkan keadilan dalam sesebuah organisasi dan juga dalam masyarakat seluruhnya. Matlamat terunggul dari pengurusan ini adalah untuk mencapai al-falah, kejayaan yang hakiki” (Mohd. Affandi Hassan; 1992:56).

Berdasarkan kepada konsep pengurusan Islam yang dipetik ini kita boleh membuat beberapa kesimpulan seperti berikut (Muhammad Syukri Salleh: 1998:10):

1. Rangka kerja pengurusan hendaklah berdasarkan kepada kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di alam ini.

2. Pengurusan itu hendaklah dijalankan secara kerja sama dan musyawarah berdasarkan prinsip syura.

3. Matlamat pengurusan menurut Islam ialah untuk mengujudkan satu tamadun unggul yang adil dan bersih dari sebarang unsur yang dilarang oleh Allah SWT.

4. Matlamat kemuncak dari sistem pengurusan Islam ialah untuk mendapat kebahgiaan di dunia dan akhirat.

Konsep pengurusan Islam ini juga antara lainnya mengaitkan tiga perkara asas iaitu, mengaitkan perhubungan manusia dengan Allah SWT (HablumminAllah), perhubungan manusia dengan manusia (Hablumminannas) dan perhubungan manusia dengan kesemua kejadian alam, makhluk dan persekitaran milik Allah SWT. Perhubungan dua dimensi ini, antara manusia dengan Allah SWT dan manusia dengan manusia adalah sebenarnya manifestasi dari kedudukan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di alam ini seperti yang dinyatakan dalam konsep pengurusan Islam di atas.

Bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam konsep umum pengurusan Islam itu, pada umumnya sistem pengurusan dalam Islam mestilah mempunyai tiga unsur utama iaitu nilai (amanah), daya intelek dan kecekapan.

i- Amanah.

Allah SWT telah menganugerah dan manusia telah menerima satu amanah berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit bumi dan bukit bukau seluruhnya[1]. Setelah menyatakan kesanggupan memikul amanah ini maka manusia tidak ada pilihan lain melainkan menunaikannya sebaik mungkin dengan berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kerosakan serta beriman kepada Allah SWT[2]. Selain dari menunaikan amanah dalam konteks hubungannya dengan Allah SWT, manusia juga perlu menunaikan amanah dalam konteks hubungannya dengan manusia lain dan alam sekitar.

Justeru itu, pengurusan manusia dan kekayaan sumber alam perlu dilakukan sebaik mungkin dalam konteks memakmurkan alam berpandukan syariat Islamiah. Setiap peringkat dalam pengurusan perniagaan dan perindustriaan itu selain dari bermatlamatkan keuntungan kewangan yang segera mestilah juga dilakukan dalam konteks menjunjung amanah ini, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran serta memakmurkan alam secara adil dan saksama mengikut garis panduan syariat.

Ini bermakna tumpuan sepenuhnya ke arah matlamat memaksimakan keuntungan dalam
pengurusan perniagaan dan perindustrian sehingga mengakibatkan kemusnahan alam dan nilai-nilai murni kemanusiaan adalah satu pengabaian terhadap amanah ini. Pengabaian terhadap tanggungjawab melaksanakan amanah adalah suatu kesalahan besar di sisi Islam sehingga Rasulullah menyamakannya dengan ketiadaan iman.

Sabdanya bermaksud,
“Tidak ada iman bagi sesiapa yang tidak ada amanah padanya” (Ibn Hibban)

ii- Intelek

Daya intelek merupakan satu lagi anugerah Allah SWT dan anugerah ini semestinya disusuli dengan tanggungjawab yang seimbang dengan anugerah yang dikurniakan itu. Manusia perlu menjaga dan membajai potensi ini sebaik mungkin melalui proses pembelajaran dan pena’kulan yang berterusan bukan sekadar bagi diri sendiri tetapi untuk masyarakat dan alam seluruhnya. Galakan supaya menuntut ilmu dan menggunakan daya fikiran bagi mengambil iktibar ini adalah sesuatu yang sangat ditekankan dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud
“Kami turunkan kepada engkau al-Zikr (al-Qur’an) supaya engkau dapat menjelaskan kepada manusia apa yang diwahyukan kepada mereka dan supaya mereka berfikir”
(al-Nahl 16:44).

“… maka ambil i’tibarlah hai orang-orang yang mempunyai pandangan” (al-Hashr 59:2).

Malah salah satu dari matlamat umum syari’at Islam itu sendiri (maqasid al-shari’ah)[3] ialah untuk menjaga kesihatan akal fikiran manusia. Penjagaan akal ini bererti selain dari mengelakkan sesuatu yang boleh merosakkan akal seperti meminum minuman keras juga melalui proses pembelajaran dan latihan berfikir.

Penjagaan dan pembajaan intelek melalui pembelajaran dan pena’kulan ini membolehkan manusia menjadi lebih kreatif, inisiatif, inovatif, positif, dedikasi dan berilmu. Kewujudan kualiti ini seterusnya membolehkan ia memenuhi amanahnya dengan baik dan cemerlang dan seterusnya mencapai al-falah, kejayaan hakiki di dunia dan akhirat seperti yang dikehendaki.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,

“Sesiapa yang menghendaki kejayaan di dunia ia perlukan ilmu, sesiapa yang menghendaki kejaayaan di akhirat ia perlukan ilmu,
sesiapa yang menghendaki kejayaan di dunia dan akhirat ia perlukan ilmu”

iii- Kecekapan

Kecekapan merupakan satu lagi kualiti utama yang sangat diperlukan dalam sesebuah organisasi perniagaan dan perindustrian. Bagaimanapun kecekapan akan hanya terhasil melalui latihan dan disiplin yang berpanjangan yang seterusnya dapat menghasilkan sesuatu kerja dengan memuaskan. Ketekunan dan disiplin yang berpanjangan dalam menjalankan sesuatu tugas dan tanggungjawab merupakan satu gesaan Allah SWT. Islam tidak menyukai kerja-kerja yang dibuat separuh jalan atau tidak konsisten.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Sebaik-baik amalan (pekerjaan) itu ialah yang konsisten sekalipun sedikit”

Di samping konsistensi sesuatu kerja, pengurusan juga perlu kepada kesungguhan, ketekunan dan komitmen yang tinggi. Dinyatakan bahawa Allah SWT amat menyukai seseorang yang membuat sesuatu kerja dengan tekun dan cuba memperolehi hasil yang terbaik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,


“Allah SWT mengasihi hambaNya yang apabila ia bekerja, ia akan bekerja dengan penuh ketekunan dan kesungguhan” (al-Bayhaqi).


“Apabila seseorang melakukan kerja Allah SWT menghendaki ia menjadikannya menarik dan sempurna” (Muslim).

Sebagai pemegang amanah, secara umumnya manusia mempunyai sekurang-kurangnya empat tanggungjawab yang mesti dilaksanakan serentak iaitu, pertama, terhadap Allah SWT, kedua, terhadap pekerjaan, ketiga, terhadap masyarakat, dan keempat, terhadap diri dan keluarga. Semua manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT berkaitan perlaksanaan amanah ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya”

Berdasar kepada perbincangan diatas, jelas bahawa objektif dan falsafah pengurusan perniagaan dan perindustrian mengikut Islam ialah memenuhi tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah dibumi dan memakmurkannya mengikut garis panduan yang telah ditentukan. Pengurusan perniagaan dan perindustrian Islam mestilah berusaha untuk memenuhi keperluan asas manusia lain bukan sahaja dalam konteks fizikal tetapi juga keperluan spiritual dengan memastikan operasi dan hasil produknya dapat memberi faedah dan manfaat dalam kedua-dua aspek tersebut. Kemampuan menyumbangkan manfaat kepada manusia merupakan sesuatu yang sangat dihargai dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda dengan maksud,
“Sebaik-baik kamu ialah yang paling bermanfaat kepada manusia”

Dalam konteks melaksanakan amanah ini, memastikan perjalanan, perlaksanaan dan pengurusan perniagaan dan perindustrian termasuk dalam bidang IKS dengan baik adalah merupakan satu ibadah[4] kepada Allah SWT. Jika konsep ibadah secara luas ini dapat difahami dan dihayati dengan baik, maka sebahagian dari matlamat kewujudan manusia, iaitu beribadat kepada Allah SWT dapat dipenuhi.

Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah SWT, Tuhan semesta Alam” (Al-An’am 6: 162.)

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya (dapat) beribadat kepadaKu” (al-Zariyat 51:56)

Perbincangan di atas juga jelas menunjukkan terdapat perbezaan yang nyata antara objektif dan falsafah pengurusan perniagaan Islam dan konvensional. Falsafah pengurusan perniagaan Barat pada kebiasaannya senantiasa memusatkan kepada matlamat memaksimakan keuntungan. Ini adalah kerana falsafah pengurusan perniagaan Barat melihat bahawa keuntungan yang maksima adalah perlu untuk menentukan perkembangan firma atau organisasi.

Perkembangan dan peningkatan firma ini pula akhirnya akan memberi faedah kepada masyarakat umum.

Dalam perspektif Islam, sudah tentu keuntungan diambilkira bukan sahaja bagi menentukan perkembangan dan peningkatan IKS tetapi sebagai amanah bagi memastikan agar perniagaan dan perindustrian dapat berterusan dan memberi faedah kepada Ummah keseluruhannya[5].

Selain dari itu, perbezaan utama dari segi falsafah pengurusan Islam dan Barat ialah kewujudan unsur keTuhanan atau rabbaniyy dalam falsafah pengurusan perniagaan dan perindustrian Islam. Dalam falsafah konvensional unsur keTuhanan ini langsung tidak diambil kira. Dengan kata lain, hubungan di antara manusia dengan Tuhan langsung tidak disentuh dalam pemikiran dan falsafah pengurusan konvensional. Perbezaan ini memberi implikasi yang amat besar yang membezakan antara kedua-dua tradisi tersebut.

Dalam aspek ini, konsep bekerja dan juga mengurus dalam Islam ialah untuk mencari keredhaan Allah SWT dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan semata-mata. Memandangkan kerja mengurus merupakan aspek yang penting dalam kehidupan, Islam menghubungkannya dengan iman dan meningkatkan ke taraf fardhu (wajib). Ini bererti adalah dilarang bagi seorang mukmin yang mampu, menumpang hidup dari tenaga orang lain.

Allah SWT menggalakkan manusia supaya menggunakan kemampuannya bagi memperolehi rezeki dan rezeki yang halal seperti firman-firmannya yang bermaksud:
“Kami telah menempatkan kamu dan sekalian di muka bumi ini dan kami sediakan bagi mu (segala macam sumber kehidupan)”, (al-A’raf:10).

Rasulullah SAW pernah ditanya tentang apakah usaha yang paling baik? Baginda lalu menjawab maksudnya,
“Seseorang yang bekerja sendiri dan semua perniagaan yang diterima oleh Allah SWT” (al-Bazzar).

Dalam satu hadis lain baginda bersabda maksudnya,
“Tidak makan seseorang satu makanan yang terlebih baik dari makanan hasil kerja tangannya sendiri …”(al-Bukhari)

3.0 OPERASI PENGURUSAN ISLAM
Walaupun terdapat perbezaan yang jelas dari segi falsafah dan objektif di antara pengurusan konvensional dan pengurusan Islam, fungsi, dan operasi pengurusan tidak semestinya berbeza. Ini memandangkan terdapatnya ciri-ciri sejagat dalam aspek pengurusan yang boleh diterima pakai oleh kedua-dua perspektif tersebut. Ciri-ciri sejagat yang mempunyai teknik-teknik pengurusan seperti kegiatan perencanaan perancangan (planning), perorganisasian (organising), pengawalan (controlling), penyelarasan (coordinating), pengarahan (directing) dan sebagainya merupakan aktiviti-aktiviti yang perlu dalam mana-mana jua sistem pengurusan.

Justeru itu, aktiviti-aktiviti tersebut merupakan aktiviti-aktiviti yang perlu digariskan untuk beberapa tindakan untuk masa hadapan. Dengan perkataan lainnya, perencanaan tersebut membawa erti yang sama atau sejagat. Apa yang membezakan kedua-dua perspektif konvensional dan Islam ialah faktor nilai.

Selain dari itu, para penulis dalam bidang pengurusan Islam juga menegaskan terdapat beberapa ciri tambahan dalam pengurusan Islam selain dari ciri-ciri sejagat tersebut.

Antaranya penghayatan konsep syura, konsep maslahah ammah, kebajikan masyarakat, keadilan, mematuhi garis panduan syari’at Islam, menjaga keharmonian masyarakat, pembinaan insan yang holistik, menegakkan prinsip amar ma’ruf dan nahi munkar, berusaha ke arah mendapat keredaan Allah SWT dan sebagainya (Yusof Ismail: 1991). Ciri-ciri khusus ini mempengaruhi apa yang dirancang dan bagaimana ianya dirancang. Kesemua aspek inilah yang membezakan perspektif Islam dari kacamata konvensional.

Selain dari perkongsian nilai sejagat pada peringkat operasi, perkongsian juga berlaku dari segi bidang kerja pengurusan perniagaan itu sendiri. Bidang-bidang ini dibentuk bagi menjalankan tugas sesuai dengan aktiviti-aktiviti pengurusan yang ada.

Bidang-bidang ini seperti pengeluaran, pemasaran, kewangan, perakaunan, pentadbiran dan lain-lain. Bidang-bidang sedemikian sememangnya menggariskan tanggungjawab dan tugas masing-masing dan ianya berbentuk universal dan sejagat dan boleh disamakan dalam kedua-dua perspektif pengurusan, Islam dan konvesional. Namun begitu, sistem pengurusan Islam mestilah berlandaskan kepada syarat-syarat ibadah mengikut Al-Quran dan Sunnah.

3.2 Pengurusan Jenis Perniagaan IKS

Banci sektor perkilangan 1997 menunjukkan bahawa IKS di Malaysia terlibat dalam hampir semua jenis pengeluaran barangan utama. Antaranya termasuklah industri makanan dan minuman serta tembakau (contohnya kilang tepung beras, serbuk kari dan rempah-ratus, aiskrim, ais, roti, mee, bihun, koko, coklat, tembakau, alkohol, dan lain-lain), industri tesktil, pakaian, batik dan kulit, kayu, kertas, percetakan dan penerbitan, bahan-bahan kimia, petrol, getah, plastik, industri logam dan bukan logam, galian, keluaran jentera ringan dan pasang siap, software, elektrik dan elektronik, dan lain-lain lagi.

Dalam hubungan ini, industri kecil dan sederhana (IKS) boleh dikatakan menghasilkan hampir kesemua barang keperluan penduduk Malaysia. Lebih-lebih lagi IKS berupaya mengeluarkan barangan yang tidak dapat dikeluarkan oleh firma besar terutama yang bertaraf antarabangsa. Hal ini dapat dilihat khususnya dalam industri makanan dan minuman.

Industri kecil dan sederhana yang terlibat dalam industri pembuatan makanan tempatan terdapat dalam pelbagai jenis kegiatan dan operasi seperti perusahaan tepung beras, serbuk kari, dan rempah ratus, sos, kicap, roti canai segera, keropok dan sebagainya. Jenis-jenis kegiatan seperti ini tidak terdapat atau tidak banyak mendapat perhatian dan banyak diusahakan oleh industri bersaiz besar.

Justeru itu, industri kecil dan sederhana terlibat secara lebih menyeluruh dan dengan kedudukan seumpama ini IKS akan dapat membantu memenuhi cita rasa penduduk Malaysia. Tanpa penyertaan industri kecil dan sederhana sudah tentu keupayaan industri lain untuk memberikan kepuasan dari segi kepenggunaan barang sememangnya sukar didapati.

Dalam konteks ini, jenis-jenis perniagaan dalam industri kecil dan sederhana adalah pelbagai dan meliputi aktiviti pengeluaran dan perkhidmatan yang universal dan sejagat. Agama Islam menggalakkan pengeluaran barangan dan penyediaan perkhidmatan yang banyak dan pelbagai bagi memenuhi keperluan masyarakat umum. Malah para ‘ulama’ telah menyatakan bahawa menjadi satu fardhu kifayah dalam menghasilkan sesuatu barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan masyarakat tetapi tidak dapat dikeluarkan oleh mana-mana pihak (Muhammad Nejatullah, 1988).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“…sesiapa yang menunaikan hajat atau keperluan saudaranya,Allah SWT akan menunaikan hajat atau keperluannya pula” (Muttafaq ‘Alayh).

Selain dari itu IKS ini juga penting untuk membolehkan setiap ahli masyaarakat yang berminat turut serta melibatkan diri dalam usaha memakmurkan alam walaupun dengan modal yang kecil atau sederhana. Ini dapat memecahkan monopoli golongan kaya dan elit sahaja dari menguasai bidang perniagaan dan perindustrian. Penglibatan masyarakat yang menyeluruh dalam bidang ini membolehkan kekayaan negara diagihkan secara lebih merata dan meluas.

Ini amat bertepatan sekali dengan kehendak ayat al-Qur’an yang bermaksud,
“… supaya harta itu tidak beredar dalam kalangan orang kaya antara kamu sahaja” (al-Hashr 59:7).

Bagaimanapun, pada peringkat membuat keputusan tentang apa yang hendak dikeluarkan, sistem nilai dan akidah seseorang pengurus itu sangat penting.. Dalam proses penentuan barangan dan perkhidmatan yang hendak ditawarkan, seseorang pengurus Muslim perlu sentiasa menghayati prinsip-prinsip seperti “tidak bahaya dan tidak membahayakan” (la darar wala dirar), “kemudratan dihilangkan” (al-darar yuzal), “menolak keburukan itu lebih utama dari menarik kebajikan” (dar’u al-mafasid muqaddamun ‘ala jalb al-masalih) yang merupakan antara prinsip-prinsip utama dalam perundangan Islam.

Ini bermakna pemilik dan pengurus IKS Muslim, tidak boleh mengeluarkan barangan atau perkhidmatan yang tidak berfaedah, merbahaya dan boleh membawa keburukan kepada masyarakat, seperti barangan makanan yang tidak halal dan minuman arak, pakaian jarang yang boleh mendedahkan ‘aurat lelaki dan wanita, alat-alat muzik, perkhidmatan saloon dan urut unisex, perkhidmatan kasino perjudiaan dan sebagainya. Keimanan seseorang pengurus atau usahawan Muslim akan sentiasa memperingatkan beliau bahawa kesan buruk dari barangan atau perkhidmatan haram yang dikeluarkannya akan dipertanggungjawabkan kepada beliau sendiri.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sesiapa yang menyeru (termasuk memudahkan dan menolong) kepada petunjuk maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan sedikit pun dan sesiapa yang menyeru kepada kejahatan maka ke atasnya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya tanpa berkurangan sedikitpun”.

Ini secara umumnya bererti bahawa pengurusan jenis perniagaan dan perkhidmatan IKS perlulah mengambilkira persoalan nilai dan hukum hakam dalam proses pengeluarannya. Pemilihan jenis-jenis keluaran dan perkhidmatan yang tertakluk kepada prinsip dan kaedah hukum syara’ dalam urusan mu’amalah ini bertujuan untuk membetul, mendidik dan mengesahkan tindakan manusia supaya terhindar dari segala kerosakan dan kemudharatan kepada diri, keluarga, komuniti dan masyarakat selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Allah SWT telah memperincikan kepadamu sesuatu yang Dia telah haramkan kepada kamu” (al-An’am 6:119);

“Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi; dan perbuatan dosa melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang Allah SWT tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah SWT apa yang tidak kamu ketahui” (al-A’raf 7:33).

“Sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya melarang menjual arak, bangkai bagi babi dan patung-patung”, selepas itu baginda berkata: “Sesungguhnya apabila Allah SWT mengharamkan sesuatu maka diharamkan harganya” (Ahmad dan Abu Daud).

4.0 PERLAKSANAAN DAN AMALAN PENGURUSAN DALAM IKS

Kejayaan dan pembangunan operasi IKS ditentukan oleh pelbagai faktor. Sebahagian dari faktor-faktor tersebut adalah boleh dikawal di bawah operasi dalam IKS, sementara sebahagian lagi di luar persekitaran IKS. Namun begitu, di antara faktor-faktor yang menentukan kejayaan, peningkatan dan perkembangan serta pembangunan IKS ialah sifat-sifat usahawan atau pengusaha itu sendiri (lihat Drucker 1974, Freedman 1952 dan Chapman 1982).

IKS memerlukan perlaksanaan pengurusan yang lebih tersusun berbanding dengan firma besar. Ini memandangkan IKS memiliki sumber tabungan modal dan sumber pekerja yang terhad dan yang secara jauh lebih kecil berbanding dengan firma besar bertaraf multinasional. Justeru itu, IKS lebih memerlukan perlaksanaan sistem pengurusan yang berkesan bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam operasi mereka. Dalam hubungan ini, IKS bukan sahaja memerlukan pengurusan, tetapi perlaksanaan sistem pengurusan yang berkualiti tinggi.

Ini bererti usahawan IKS yang berkesan ialah mereka yang berupaya dan peka dalam mengenalpasti keperluan-keperluan aspek perniagaan. Memandangkan IKS selalu berhadapan dengan pelbagai masalah dan halangan, usahawan IKS perlu mengenalpasti keutamaan-keutamaan dari segi pengagihan sumber kepada aspek operasi yang lebih memerlukan dan merancang aspek yang kurang memerlukan perhatian bagi perancangan masa depan. Keberkesanan perlaksanaan pengurusan IKS dalam hal ini, banyak bergantung kepada sifat-sifat usahawan yang merupakan kunci bagi menentukan hala tuju perlaksanaan pengurusan dalam perniagaan IKS.

Kebolehan usahawan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sangat penting yang seterusnya boleh menentukan kewibawaan dan kemajuan firma IKS. Antara beberapa sifat usahawan yang digariskan perlu ada bagi mempastikan kejayaan IKS adalah seperti berikut;
“Confident, perseverance, energetic, ability to take risk, resourceful, creative, high need for achievement, initiative, flexible, responsive to suggestions and criticism, response positively to challenges, independent, good foresight, dynamic, sociable, versatile, perceptive, optimistic, etc” (Hornaday 1982:26-29).

4.1 Budaya Merancang

Usahawan dan pengurus Muslim juga perlu mempunyai tujuan dan perancangan memandangkan perancangan merupakan pokok kepada sistem pengurusan. Idea, fikiran dan daya intelek yang dianugerahkan oleh Allah SWT boleh menentukan tujuan dan perancangan bagi kemajuan IKS.

Bagi seorang usahawan IKS yang mempunyai daya fikir yang baik, kebiasaannya ia akan merancang dan menganalisis tentang apa yang dibuat, sumber kewangan, penilaian terhadap prospek perniagaan pekerja dan latihan pekerja serta lain-lain aspek seperti pengeluaran, kawalan kualiti, nilai cairan, kos analisis, penyimpanan rekod, pemasaran dan sebagainya.

Ini penting sebagai usahawan Muslim dalam mana Islam melihat bahawa penggunaan daya intelek adalah berdasarkan kepada niat dan tujuan dan ia adalah perkara asas di dalam menilai dan mengenalpasti setiap tugas dan kerja.

Ternyata bahawa sifat-sifat usahawan sedemikian adalah nilai universal dan sejagat dan ia boleh diterima pakai sama ada dalam perspektif konvensional mahupun perspektif Islam. Sesungguhnya, sifat-sifat tersebut amat digalakkan dalam Islam malah menjadikan satu tanggungjawab dan fungsi usahawan untuk memajukan dan meningkatkan diri melalui operasi IKS serta ianya berbentuk universal. Sifat-sifat tersebut perlu ada dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan perlaksanaan sistem pengurusan IKS.

Malah sekiranya sifat-sifat tersebut kurang atau tidak didapati, Islam menggalakkan pengikutnya mencari dan menambah ilmu pengetahuan. Misalnya dalam bidang pengurusan ini banyak penemuan-penemuan baru telah dikenalpasti oleh para ahli kajian dan adalah menjadi tanggungjawab bagi orang-orang yang ingin menambah ilmunya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud,
“Ya Tuhanku, tambahlah kepadaku ilmu pengetahuan” (Taha 20:114)

4.2 Sikap Positif & Bermotivasi

Di samping aspek-aspek yang ditekankan dan bersifat konvensional di atas, terdapat beberapa aspek nilai penting yang perlu ada pada usahawan Muslim dalam menguruskan firma IKS mereka. Usahawan Muslim perlu tanamkan sikap positif dan bermotivasi menurut konsep Qada’ dan Qadar. Konsep ini menuntut kita meyakini bahawa segalanya adalah ketentuan Allah SWT.

Tidak ada sebarang makhluk dan sesuatu yang mampu menyekat kehendak Allah SWT untuk memberikannya kejayaan jika Allah SWT telah menentukan demikian baginya. Ini dapat merangsang seseorang pengurus maupun usahawan Muslim untuk bekerja sebaik mungkin mengikut lunas yang dibenarkan bagi mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah SWT sama ada di dunia maupun di akhirat seperti yang dijanjikanNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dan tidaklah bagi seseorang manusia itu melainkan apa yang ia usahakan” (al-Najm 53:53).

“Sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan ganjaran bagi sesiapa yang melakukan kerja-kerja yang baik” (al-Kahf 18:30)

Galakan dan motivasi bekerja ini juga boleh diperolehi melalui sebuah hadith Rasulullah SAW yang telah menjelaskan hakikat bahawa perniagaan merupakan satu cara terbaik untuk memperolehi rezki.

Sabda baginda yang bermaksud,
“Sesungguhnya 9/10 dari punca rezki terletak pada perniagaan”.

Sesungguhnya dalam aspek motivasi ini, ahli perniagaan dan usahawan Muslim sepatutnya lebih bermotivasi dari pesaing mereka yang bukan Muslim. Ini adalah kerana ganjaran bagi amalan kebajikan (termasuk dalam bidang perniagaan dan perusahaan) seseorang Muslim itu bukan sahaja diperolehi di dunia ini malah yang lebih penting lagi akan diperolehinya juga di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
“Peniaga Muslim yang bersifat benar dan amanah akan bersama para shuhada’ di akhirat kelak”(Ibn Majah).

Ganjaran yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang di dua alam ini seharusnya memberi dorongan kuat kepada usahawan Muslim bagi memakmurkan alam ini mengikut cara yang disyari’atkan.

Usahawan Muslim juga tidak harus berputus asa sekiranya ada kegagalan (El-Enein 1997). Sifat berputus asa adalah
satu sifat yang sangat dilarang Allah SWT.

Firman-Nya yang bermaksud,
“Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT, sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah SWT melainkan orang-orang kafir”(Yusuf 12:87)

Malah kegagalan perlu dilihat sebagai satu cabaran serta pengajaran dan bukan satu bala dari Allah SWT. Cara begini sememangnya dapat menanam semangat gigih dan dapat memperkukuhkan lagi iltizamnya sebagai usahawan yang soleh.

4.3 Iman dan Amal Soleh

Usahawan Muslim perlu mempunyai iman yang teguh dan sentiasa beramal soleh. Sesungguhnya, Islam tidak mengenal iman yang tidak membuahkan amal soleh dan amal soleh tidak berlaku tanpa asas iman. Dalam banyak ayat al-Qur’an sendiri Allah SWT sentiasa mengaitkan iman dengan amal soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Iman itu bukanlah dengan angan-angan dan perhiasan tetapi ia ialah apa yang tertanam teguh dalam hati dan dibenarkan(dibuktikan) melalui amalan” (Ibn al-Najjar dan al-Daylami).

Iman yang teguh kepada janji dan jaminan Allah SWT akan memberangsangkan ahli perniagaan dan usahawan Muslim untuk bekerja dan mengurus dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Berusaha melalui pengurusan perniagaan dengan kaedah dan matlamat yang ditetapkan oleh syara’ adalah juga dikira sebagai amal soleh atau ‘ibadah. Ini adalah kerana ia akan dapat memenuhi maslahah dan kepentingan individu, orang ramai dan organisasi.

Konsep ‘amal soleh dan ‘ibadah yang difahami secara luas termasuk dalam aktiviti-aktiviti perniagaan dan perindustrian ini akan menjadikan sistem pengurusan tersebut dijalankan dengan amanah dan adil serta jujur. Hakikat keluasan konsep ibadah dan ‘amal soleh ini dapat dilihat dalam sebuah hadith yang bermaksud,
“Berusaha memenuhi keperluan hidup dengan cara yang halal merupakan satu kewajipan selepas kewajipan sembahyang”(al-Bayhaqi)

4.4 Adil dan Jujur
Dengan menganggap aktiviti ekonomi yang dijalankannya satu ibadah seseorang ahli perniagaan atau usahawan akan sentiasa bersikap adil, jujur dan beretika dengan etika yang sesuai dengan konsep ibadah dalam Islam. Ia tentu tidak akan menipu dalam perniagaannya atau perusahaannya seperti mana ia tidak menipu dalam ibadah sembahyangnya atau puasanya.

Allah SWT berfirman maksudnya,
“... dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya... “ (al-An’am 6:85)

“Dan sempurnakanlah takaran apabila kamu menakar, dan timbanglah dengan neraca yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (al-Isra’ 17:35)

Ia juga akan sentiasa berlaku adil bagi menunaikan perintah Allah SWT yang bermaksud,
“.. dan apabila kamu menentukan hukum (keputusan) di antara manusia kamu berhukum dengan adil...”(al-Nisa 4:58).

“Dan kami anugerahkan kepada mereka sebahagian dari rahmat Kami dan Kami jadikan mereka orang-orang yang jujur” (Maryam 19:50).

Sifat jujur juga telah terbukti menjadi satu prasyarat penting bagi kejayaan dalam pengurusan perniagaan dan perindustrian. Mengikut sejarah, satu dari strategi Rasulullah SAW untuk memecahkan monopoli Yahudi dalam ekonomi dan perniagaan di Madinah ialah dengan membuka sebuah pasar bagi saudagar-saudagar Muslim.

Sifat berdisiplin dan jujur yang ditunjukkan oleh para peniaga Muslim di pasar Madinah akhirnya telah berjaya melemahkan monopoli ekonomi peniaga Yahudi di pasar di Qaynuqa’ yang penuh dengan riba dan penipuan (H.Zainal Abidin Ahmad:1979). Malah boleh dikatakan sifat jujur dan amanah para saudagar Islam merupakan antara faktor utama tersebarnya Islam keseluruh pelusuk alam.

Antara amalan pengurusan yang bersifat tidak jujur dan dilarang oleh Islam termasuklah tindakan menyorok barangan dan kemudian menjualnya untuk mendapat keuntungan yang terlalu tinggi sebagaimana Rasullullah SAW. bersabda yang bermaksud,
“Jika seseorang menyorok barangan sehingga harga naik, dia adalah orang yang berdosa…”(al-Hakim).

“Seorang yang menyorok barangan itu jahat. Jika harga turun dia bersedih, dan jika harga naik dia suka”.

4.5 Reda Mereda’i
Amalan perniagaan mengikut sistem mu’amalat Islam sangat mementingkan unsur kerelaan kedua belah pihak yang terlibat dalam aktiviti jual beli bagi mengelakkan sebarang kekecohan dan ketidakpuasan hati antara sesama masyarakat. Islam melarang keras sebarang bentuk aktiviti ekonomi yang dilakukan secara paksaan atau kerelaan yang diberi secara tidak sah melalui penipuan, tekanan dan sebagainya. Hakikat ini dinyatakan dalam al-Qur’an dengan jelas sekali.

Firman Allah SWT bermaksud,
“jangan kamu makan harta kamu antara kamu secara batil melainkan melalui perniagaan, reda meredai antara kamu” (al-Nisa’ 4:29).

Rasulullah SAW bersabda dengan maksud,
“jual beli itu melalui reda meredai” (Ibn Majah)

Bagaimanapun oleh kerana kerelaan ini adalah amalan hati maka untuk mengukur kewujudan unsur ini Islam mensyari’atkan konsep ‘aqad, iaitu ijab dan qabul melalui lafadz atau lain-lain. Ijab adalah seumpama penjual berkata, “saya jualkan barang ini dengan harga sekian”. Manakala qabul pula seperti kata pembeli, “saya terima atau beli barang tersebut dengan haga sekian”.

4.6 Perhubungan Majikan-Pekerja

Sementara itu, Islam menggariskan beberapa prinsip penting dalam perhubungan antara majikan dengan pekerja, hubungan sosial dan perhubungan awam yang boleh dijadikan landasan dalam sistem pengurusan perniagaan dan perindustrian termasuk IKS. Islam menyeru kepada persaudaraan, ukhuwwah sesama anggota masyarakat demi membangun dan memupuk perpaduan seperti firmanAllah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara ...” (Al-Hujurat 49:10).

“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah SWT dan dan janganlah kamu berpecah belah” (Al-‘Imran 3:103).

Dua ayat tersebut dapat disimpulkan bahawa pengurusan dari kacamata Islam menganggap bahawa persaudaraan hendaklah menjadi asas perhubungan sosial bagi mencapai perpaduan dan mengelakkan sebarang kezaliman. Konsep ukuwwah dalam pengurusan organisasi ini juga dapat membina persefahaman antara majikan (usahawan) dengan para pekerja dan orang-orang yang terlibat di dalamnya.

Majikan mestilah memikul tanggungjawab menjaga kepentingan dan kebajikan pekerjanya dengan baik. Untuk tujuan ini, antara lainnya Islam menggesa para majikan supaya upah atau gaji para pekerja dibayar dengan cepat dan tepat pada masanya seperti yang dijanjikan.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Bayarlah upah yang seseorang pekerja itu sebelum kering peluhnya”.

Dalam hadith lain baginda bersabda bermaksud,
“Ada tiga golongan yang aku menentangnya di hari kiamat nanti (salah satu darinya) orang yang mengupah seseorang pekerja dan pekerja tersebut menyempurnakan kerjanya tetapi ia tidak membayar upahnya”.

Selain cepat dan menepati waktu, kadar upah atau gaji itu juga hendaklah mengambil kira suasana inflasi, belanja perubatan, pendidikan dan lain-lain keperluan semasa dan setempat. Majikan juga tidak seharusnya membebankan para pekerjanya dengan kerja yang di luar kemampuan mereka atau terlalu berat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya saudara(pekerja) kamu itu adalah keluarga kamu yang Allah SWT letakkan mereka di bawah tangan(kuasa atau jagaan) kamu. Maka sesiapa yang saudaranya diletakkan di bawah tangannya maka hendaklah ia beri makan apa yang ia makan, beri pakai apa yang ia pakai dan janganlah menyuruh mereka membuat apa yang berat bagi mereka dan jika kamu menyuruh sesuatu yang berat bagi mereka hendaklah kamu bantu mereka” (al-Bukhari).

Di pihak pekerja pula, mereka mestilah memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan penuh jujur dan ikhlas. Sikap ponteng kerja, curi tulang atau lain-lain tindakan yang boleh merugikan organisasi merupakan satu pengkhianatan yang sangat dilarang oleh Islam.

Jika setiap majikan dan pekerjanya dapat memahami dan menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing maka ia membawa kepada satu bentuk perhubungan dan suasana yang harmonis antara majikan dan pekerja. Perhubungan yang baik ini boleh mewujudkan suasana yang kondusif dan ceria di tempat kerja dan seterusnya meningkatkan prestasi dan keupayaan sesebuah organisasi untuk berkhidmat kepada masyarakat bagi mencapai matlamat keredaan Allah SWT.

Dr. Ahmad Sallam dan Abdalla Hanaty meringkaskan hubungan majikan-pekerja dalam sesebuah organisasi Islam seperti berikut, “…persaudaraan, peluang-peluang yang sama, kepercayaan dan tanggungjawab, perlantikan berdasarkan kelayakan, upah yang saksama, beban kerja yang munasabah, motivasi kerohanian, musyawarah, pembelajaran yang berterusan” (dipetik oleh Wan Liz: 1996:102-103).

Islam menggalakkan beberapa initiatif seperti meninjau pendapat dan aduan orang yang terlibat dan komunikasi
hendaklah digunakan dengan cara yang sebaiknya. Firman Allah SWT bermaksud:
“Urusan mereka hendaklah diputuskan dengan asas perundingan” (al-Syura 42:38).

“Ucapkanlah (gunakanlah) bahasa yang baik terhadap manusia”
(al-Baqarah 2:83).

4.7 Perlantikan Kakitangan Serta Pemantauan

Sementara itu, perlantikan kakitangan yang tidak mempunyai kecekapan dalam bidang yang ditugaskan merupakan kelemahan yang selalu terdapat dalam pengurusan. Justeru itu, Rasulullah SAW. bersabda:
“Jika menyerahkan tugas kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kehancurannya”.

Sistem pengawasan dan pemantauan atau muhasabah juga digalakkan dalam pengurusan Islam. Berpandukan kepada perintah dan larangan Allah SWT kepada manusia, ianya adalah untuk kebaikan manusia sendiri baik di dalam urusan dunia dan agama, seperti firmanNya:
“Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menjaga dan mengawasi kamu” (Al-Nisa 4:1).

“Bekerjalah, makaAllah SWT akan sentiasa melihat kerjamu dan juga rasulNya dan orang-orang Mukmin” (al-Taubah 9:105).

Tegur menegur ke arah kebaikan dan peringatan dari sebarang kelalaian dan kesilapan sesama ahli dalam sesebuah organisasi adalah antara amalan mulia yang sangat digalakkan oleh Islam.

Firman Allah SWT bermaksud,
“Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memeberi manfaat kepada orang-orang mukmin” (al-Zariyat 51:55) .
Rasulullah SAW bersabda antara lainnya bermaksud,

“Agama itu adalah nasihat” (Abu Dawud).

Para pemimpin besar Islam silam antaranya seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina ‘Umar sentiasa menggalakkan orang bawahan mereka supaya memberi teguran dan memperbetulkan mereka jika berlaku kesalahan dan kesilapan semasa pentadbiran mereka.

4.8 Keuntungan dan Riba

Perkara pokok yang menjadi keutamaan sistem pengurusan konvensional ialah keuntungan. Konsep untung yang dimaksudkan ialah perbezaan di antara hasil jualan dan kos yang terlibat. Sesungguhnya konsep untung yang demikian (bersumber daripada perniagaan) adalah tidak bertentangan dengan prinsip Islam selagi ianya tidak melibatkan amalan riba atau lain-lain unsur yang dilarang oleh Islam. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT bermaksud:
“Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (Al-Baqarah 2.:275).

4.9 Pembiayaan Projek

Hal ini juga melibatkan pembiayaan yang tidak melibatkan riba. Bagi syarikat perniagaan atau usahawan Muslim, sumber pembiayaan yang paling penting ialah dari bank perdagangan yang menyediakan pelbagai jenis pembiayaan samada jangka pendek dan jangka panjang modal pusingan, modal tetap, aset dan lain-lain. Bagaimanapun, usahawan Muslim perlulah mendapatkan kemudahan pembiayaan tanpa riba berdasarkan konsep usahasama di antara pembeli dan penerima.

Konsep ini diamalkan melalui pembiayaan secara mudharabah, musyarakah atau saham. Bagi pembiayaan aset semasa atau modal pusingan tiga kaedah pembiayaan secara Islam boleh digunakan oleh usahawan Muslim iaitu:-mudharabah, musyarakah dan kredit perdagangan. Sementara pembiayaan aset tetap boleh dilakukan melalui lima cara iaitu bay’ bi al-thaman al-ajil, ijarah, ijarah thumma al-bay (sewa-jual), musyarakah mutanaqisah, pembiayaan semula. Semua kemudahan ini dan lain-lain pembiayaan Islam ditawarkan oleh hampir semua bank perdagangan di negara ini.

4.10 Aspek Kebajikan dan Zakat

Amalan pengurusan Islam dalam IKS juga perlu menekankan aspek natijah, soal kebajikan, bantuan kepada golongan yang tidak mampu dan golonga miskin. Amalan-amalan ini lebih mendekatkan majikan dan pekerja kepada Allah SWT. Persoalan kebajikan seperti ini jelas dapat dilihat di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan” (al-Nahl 16:90).

Salah satu aspek kebajikan yang dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik ialah melalui pengeluaran zakat hasil dari perniagaan IKS. Malah zakat atas perniagaan ini memang sedia dilakukan pada zaman Rasullullah SAW dan ini jelas terdapat dalam firman Allah SWT dan sabda Rasulullah SAW yang kedua-duanya bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, keluarkanlah sebahagian hasil usaha yang kalian perolehi dan sebahagian hasil bumi yang kami keluarkan untuk kalian” (al-Baqarah 2:143).

Rasulullah SAW bersabda maksudnya,
“Keluarkanlah sedaqah dari segala yang kami maksudkan untuk dijual” ( Dar al-Qutni dan Abu Daud).

KESIMPULAN
Pengurusan perniagaan dan perindustrian menurut perspektif Islam termasuk dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS) secara umumnya bereti mengurus firma perniagaan dan perindustrian dengan menggunakan kaedah, amalan dan nilai-nilai yang terdapat dalam pengurusan Islam. Sementara falsafah asas pengurusan perniagaan dan perindustrian dari perspektif konvensional adalah untuk mencapai keuntungan sedangkan asas pengurusan dari perspektif Islam ialah untuk mendapat keredhaan Allah SWT, menunaikan amanah sebagai khalifah serta melakukan pengurusan tersebut sebagai satu ibadah untuk menyara diri, keluarga dan khidmat kepada masyarakat.

Sementara perspektif pengurusan Islam dalam IKS menerima ciri-ciri usahawan yang bersifat sejagat dan universal, nilai-nilai usahawan Muslim seperti amal soleh, amanah, adil, jujur, ikhlas, hubungan majikan-pekerja, perlantikan pekerja, ketelitian dan kecekapan bekerja, kaedah pembiayaan Islam, jauhi riba, pemberian zakat keuntungan dan lain-lain adalah diutamakan, dan perlu ditanam dalam setiap individu yang bergelar usahawan dan pengurus Muslim.



NOTA

[1] FirmanAllah SWT bermaksud “Sesungguhnya telah Kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang mereka
enggan memikulnya dan takut menerimanya, tetapi manusia memikulnya, sesungguhnya manusia itu aniaya lagi jahil”(al-Ahzab 33:72)

[2] FirmanAllah SWT bermaksud “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepadaAllah SWT”(Al ‘Imran 3:110)

[3] Berdasarkan kajian dan penelitian mereka, para ‘ulama’ berpendapat bahawa terdapat lima tujuan umum syariat Islam(maqasid al-shari’ah) iaitu i-menjaga agama ii- menjaga aqal iii- menjaga diri(nyawa) iv- menjaga keturunan dan marwah v- menjaga harta.

[4] Ibadah hendaklah difahami dalam skop pengertiannya yang luas iaitu sebarang amalan yang dibuat dalam konteks menjunjung perintahAllah SWT SWT dan menjauhi laranganNya. Ia mencakupi amalan yang disebutkan secara jelas dalam nas-nas yang dikenali sebagai ibadat khusus maupun amalan seharian manusia yang dikategorikan sebagai ibadat umum. Bagaimanapun untuk menjadikan sesuatu amalan harian itu termasuk dalam kategori ibadah umum ini, para ‘ulama’ menetapkan beberapa syarat antaranya, i.- niat yang betul ii- amalan itu sendiri tidak dilarang iii- tidak mengabaikan kewajipan asasi iv- dibuat dengan cara yang betul berdasarkan prinsip-prinsip syara’ v- dibuat dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

[5] Pandangan Islam tentang matlamat pengurusan ini sudah mula diterima oleh pakar pengurusan Barat sendiri. P.Drucker umpamanya dalam buku beliau yang diterbitkan dalam tahun 1968, The Practice of Management menyatakan bahawa tanggungjawab utama pengurusan kepada masyarakat ialah untuk membuat keuntungan dan menghasilkan pertumbuhan yang akan meningkatkan kekayaan masyarakat. Bagaimanapun dalam tahun 1994 melalui bukunya Post Capitalist Society, setelah melihat kepincangan pengurusan yang terlalu mengutamakan keuntungan sehingga mengorbankan kesinambungan organisasi jangka panjang, beliau berpendapat bahawa pengejaran matlamat memaksimakan untung merupakan dosa besar dalam perdagangan.(M.Z. Azmie:1999)





BIBLIOGRAFI
Abou El Enein G.A. 1997, “Attitudes Towards Work and Achievements in Islam” in Faridi F.R. (ed.) Islamic
Principles of Business Organisation and Management, Percetakan Sooriya: K.L.
Chapman R. 1982, Small and Medium Enterprises in SouthEast Asia, Institute of South Asian Studies, NUS, Singapore.
Drucker P. 1974, Management, Allied Published Ltd., New Delhi.
Hornaday P. 1982 “Entrepreneurship” dalam Sexton D. and Vesper K. (eds.) in Ecyclopedia of Entrepreneur, Kane C., Prentice Hall Inc. New Jersey .
H. Zainal Abidin Ahmad 1979, Dasar-Dasar Ekonomi Islam, Jakarta.
Jabatan Statistik 1997 “Survey in Manufacturing Sector”, Jabatan Statistik: Kuala Lumpur.
Mahmood A. Moursi 1997, “Some Principles of Management in Islam” dalam Faridi F.R. (ed.) Islamic Principles of Business Organisation and Management, Percetakan Sooriya: K.L.
Moha Asri A. 1997a, Industri Kecil di Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka: K. Lumpur.
Moha Asri A. 1997b, Industri Kecil dan Sederhana di Malaysia, Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur.
Mohd. Affandi Hassan 1992, The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles, and Alternative Model, INTAN, Kuala Lumpur.
Muhammad Nejatullah Siddiqi 1988, Perusahaan Ekonomi Dalam Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur.
Muhammad Syukri Salleh 1998, “Conceptualising Islamic Development Management”, kertas kerja dibentangkan dalam The First International Conference on Islamic Development Management: Management of Economic Development in Islamic Perspective, anjuran Projek Pengurusan Pembangunan Islam USM dan Bank Pembangunan Islam (IDB) di USM 8-10 Disember.
Muhammad Syukri Salleh 1998, “Mengurus Pembangunan Secara Islam”, kertaskerja dibentangkan di Simposium Pengurusan Pembangunan Islam, anjuran Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, 25 April.
M.Z.Azmie 1999, Pengurusan Dari Perspektif Solat, Utusan Publications, Kuala Lumpur.
Rafik Issa Beekun 1998, Etika Perniagaan Islam, International Institute of Islamic Thought, Malaysia: Petaling Jaya.
Sheikh Ghazali S.A. 1991, “Pengurusan Perniagaan Islam - Suatu perbandingan” dalam Sheikh Ghazali S.A. dan Zamburg Abdul Kadir Pengurusan Perniagaan Islam, Hizbi: Shah Alam.
Wan Liz Ozman Wan Omar 1996, Pengurusan Islam Abad ke 21, Utusan Publications and Distributors, Kuala Lumpur.
Yusuf Ismail 1991, Mengurus Secara Islam: Model dan Prinsip-Prinsip Pengurusan Islam bagi Individu dan Organisasi, A.S.Noordeen, Kuala Lumpur

No comments:

47th QubicaAMF World Cup

47th QubicaAMF World Cup

46th QubicaAMF World Cup

46th QubicaAMF World Cup

45th World Cup

45th World Cup

44th World Cup

44th World Cup

43rd World Cup

43rd World Cup