corporate

corporate

mission & vision

mission & vision

business & services

business & services

aviation lubricant

aviation lubricant

bowling

bowling

contact us

contact us
Loading...

PREVIOUS BOWLING PROJECT

PREVIOUS BOWLING PROJECT

2

2

3

3

4

4

5

5

6

6

7

7

8

8

9

9

10

10

Saturday, July 26, 2008

Laporan Tahunan PKS 2007

Ref No: 07/08/06
Embargo: Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1300 pada hari Khamis, 24 Julai 2008

Laporan Tahunan PKS 2007

Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2007 dilancarkan pada hari ini oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Laporan Tahunan PKS 2007 merupakan salah satu inisiatif utama Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan bagi memastikan PKS dan penggubal dasar mendapat akses kepada pelbagai maklumat mengenai status, kemajuan, prestasi dan dasar pembangunan PKS dalam kesemua sektor.

Laporan Tahunan PKS 2007 memaparkan tinjauan keseluruhan berikut:

  • persekitaran ekonomi semasa di dalam dan luar negara dengan tumpuan pada pasaran baharu yang berpotensi;
  • prestasi produktiviti PKS dalam sektor perkilangan dan pertanian, dengan maklumat tentang cara meningkatkan penggunaan ICT dan e-Pembayaran yang boleh mengurangkan kos dalam jangka sederhana;
  • program yang dilaksanakan pada tahun 2007 dan yang dirancang bagi tahun 2008 untuk menggalakkan pembangunan PKS, berserta beberapa kisah kejayaan PKS yang telah mendapat manfaat daripada program ini;
  • dan bidang pertumbuhan strategik, termasuk maklumat tentang rangka kerja infrastruktur fizikal yang menyokong PKS dan insentif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan penglibatan PKS dalam bidang ini.


Prestasi Produktiviti Bertambah Baik

Produktiviti PKS dalam sektor perkilangan dan pertanian menunjukkan pertumbuhan yang positif. Pada tahun 2007, pertumbuhan produktiviti PKS dalam sektor perkilangan ialah 5.3%. PKS merangkumi 96% daripada pertubuhan dalam sektor perkilangan, yang menyumbang sebanyak 30.7% kepada jumlah pengeluaran perkilangan. Perolehan produktiviti disebabkan oleh pelaburan yang berterusan dalam teknologi moden dan proses pengeluaran yang lebih maju menghasilkan produk dan perkhidmatan nilai tambah yang lebih tinggi.

Sektor pertanian mencatat pertumbuhan produktiviti sebanyak 2.8% dan menyumbang dengan ketara dari segi hasil dan guna tenaga. PKS dalam sektor pertanian terlibat terutamanya dalam sektor perladangan, termasuk penanaman kedua-dua tanaman makanan dan bukan makanan, penternakan, perikanan dan akuakultur. Pada tahun 2007, produktiviti di peringkat ladang mencatat peningkatan disebabkan penekanan yang lebih besar diberikan pada perladangan komersial berskala besar, penerapan teknologi perladangan terkini dan pembangunan kemahiran usahawan tani melalui program inkubasi.

Laporan ini juga memaparkan manfaat penerapan teknologi maju termasuk ICT dan pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan. PKS boleh menggunakan ICT untuk membantu mereka dalam proses membuat keputusan dan menambah baik proses perniagaan. Selain itu, PKS akan mendapati bahawa dengan menggunakan penyelesaian e-pembayaran, mereka akan dapat menjalankan urus niaga dengan lebih cekap dalam pasaran dalam negeri dan global.

Agenda Nasional dalam Membangunkan PKS

PKS merupakan penyumbang penting kepada pertumbuhan dan daya tahan ekonomi negara yang mampan. Bagi memastikan pertumbuhan sektor PKS yang mampan, Kerajaan telah menjadikan dasar dan strategi yang merangsang pembangunan PKS, inisiatif yang bertujuan membina kapasiti dan keupayaan PKS, mewujudkan infrastruktur yang menyokong pembangunan PKS dan juga mempertingkatkan akses kepada pembiayaan untuk PKS. Berikutan komitmen dan kerjasama antara Kementerian dengan Agensi untuk melaksanakan program yang berfokuskan PKS, penyampaian program kepada PKS telah menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 72% program yang dilaksanakan pada tahun 2007 telah mencapai atau melebihi sasaran yang ditetapkan dengan baki program masih dalam pelaksanaan.

Program pada Tahun 2007 untuk Merangsang Kapasiti dan Keupayaan PKS

Pada tahun 2007, lebih daripada 286,000 PKS mendapat manfaat daripada 189 program yang telah dilaksanakan oleh 14 Kementerian dan Agensi yang berkaitan dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.9 bilion. Fokus program pada tahun 2007 adalah untuk mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan PKS, khususnya dari segi peningkatan kemahiran, pembangunan keusahawanan, pemasaran dan promosi, pembangunan produk dan penambahbaikan teknologi. Program yang bertujuan mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan PKS telah memberikan manfaat kepada lebih 248,000 PKS. Dari segi kemudahan infrastruktur, sebanyak 7,700 PKS menerima manfaat daripada program pembangunan yang tertumpu pada penambahbaikan dan pembinaan infrastruktur fizikal baharu untuk menyokong operasi perniagaan PKS. Pewujudan kelompok industri terus digalakkan pada tahun 2007 kerana ia mengurangkan kos pengangkutan dan logistik sekali gus mempermudah penghantaran barangan dan bekalan bahan mentah, serta membolehkan beberapa kemudahan umum dikongsi bersama.

Pilihan Pembiayaan untuk Pelbagai Keperluan

Pembiayaan kepada PKS terus meningkat dengan nyata pada tahun 2007. Institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) terus merupakan penyedia terbesar dana kepada PKS dan meluluskan RM63.2 bilion kepada lebih 132,000 akaun PKS. Jumlah ini jauh melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak RM51 bilion kepada 110,000 akaun PKS. Pada tahun 2007, Bank Negara Malaysia melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk menggalakkan institusi perbankan dan IKP menyediakan kemudahan pembiayaan mikro. Hasilnya, enam bank perdagangan dan tiga IKP telah menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah RM271 juta kepada lebih daripada 26,000 perusahaan mikro pada akhir bulan Mac 2008.

Selain itu, Dana Modal Usaha Niaga untuk sektor pertanian berjumlah RM300 juta telah dilancarkan, di samping langkah oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) memperluas skop penerima jaminannya untuk meliputi bank Islam dan IKP terpilih bagi memperluas jangkauan kepada PKS. Pelbagai dana dan skim Kerajaan memperlengkap peranan bank perdagangan dan IKP yang dijangka kekal sebagai penyedia utama dana kepada PKS pada tahun 2008. Institusi kewangan ini dijangka meluluskan pinjaman sebanyak RM70 bilion untuk dikeluarkan kepada kira-kira 140,000 akaun PKS.

Persediaan untuk Pertumbuhan

Kerajaan telah mengenal pasti sektor perkhidmatan dan pertanian sebagai bidang tumpuan untuk digalakkan sebagai sumber pendapatan penting PKS. Pembangunan bersepadu sektor-sektor ini merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan negara dalam meneroka bidang pertumbuhan berpotensi seperti pengeluaran makanan dan pelancongan bagi memperluas asas-asas ekonomi negara. Ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada tahun 2008, sebanyak 198 program dengan komitmen kewangan sebanyak RM3.2 bilion sedang dilaksanakan. Kesemua program ini terutamanya adalah untuk menggalakkan pembangunan produk inovatif dan pengautomasian proses, sejajar dengan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif.

Banci Pertubuhan dan Enterpris 2005 menunjukkan PKS menyumbang sebanyak 42.1% (atau RM8.7 bilion) kepada jumlah pengeluaran sektor pertanian. Susulan kenaikan kos makanan, usaha mentransformasikan sektor pertanian untuk menjadi sektor pertumbuhan utama negara telah dipergiatkan. Peningkatan permintaan global terhadap makanan membuka peluang yang besar bagi PKS untuk menjana pendapatan dalam sektor pertanian. Dengan wawasan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2010, program Kerajaan seperti menggalakkan perladangan secara kontrak, pembangunan terminal makanan negara, dan pusat fidlot, serta insentif lain telah dilaksanakan bagi menggalakkan penerapan teknik pengeluaran yang moden dan berskala komersial dengan lebih cepat, di samping penggunaan ICT dan bioteknologi yang lebih meluas.

Kira-kira 87% PKS terlibat dalam sektor perkhidmatan, sektor yang dijangka menjana sumbangan yang lebih tinggi kepada KDNK dalam dekad yang akan datang. Khususnya, pendapatan pertukaran asing daripada subsektor pelancongan bertambah daripada RM17.3 bilion pada tahun 2000 kepada RM46.1 bilion pada tahun 2007. Aktiviti pelancongan yang semakin giat telah menjana kesan limpahan dalam sektor ekonomi lain seperti industri perhotelan, perniagaan runcit, restoran dan pengangkutan. Pada tahun 2007, perolehan sektor pelancongan menyumbangkan 7.4% kepada KDNK. Sektor pelancongan dan bidang pertumbuhan lain, dan juga program-program sokongan telah dipaparkan dalam Laporan Tahunan PKS 2007 bagi membantu PKS merebut peluang dalam sektor-sektor yang semakin berkembang ini.

Majlis Pembangunan PKS kebangsaan 24 Julai 2008

No comments:

47th QubicaAMF World Cup

47th QubicaAMF World Cup

46th QubicaAMF World Cup

46th QubicaAMF World Cup

45th World Cup

45th World Cup

44th World Cup

44th World Cup

43rd World Cup

43rd World Cup